Kerajaan Sarawak Ambil Langkah Strategik Selaraskan Fungsi Perhubungan Awam
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah strategik menyelaraskan fungsi perhubungan awam di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri menerusi penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pegawai Perhubungan Awam (PRO) bagi memastikan dasar dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara konsisten dan menyeluruh.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) yang juga Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datu Hii Chang Kee, berkata mesyuarat ini bertujuan menyelaraskan peranan setiap pegawai perhubungan di setiap agensi Kerajaan Sarawak lebih-lebih lagi dalam menghebahkan polisi dan inisiatif baharu yang telah dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Sehubungan itu katanya, kerjasama semua pihak untuk bergerak lebih proaktif dalam menghebahkan aktiviti mahupun polisi di bawah kementerian, jabatan mahupun agensi masing-masing perlu dipertingkatkan agar hebahan tersebut sampai ke seluruh lapisan masyarakat.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi PRO yang melibatkan 37 pihak berkepentingan termasuk kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau turut mendedahkan cadangan Terma Rujukan (TOR) Jawatankuasa Koordinasi PRO di setiap kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak yang telah diluluskan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pada 8 Oktober tahun lalu.
Katanya, TOR ini bertujuan untuk memantapkan fungsi perhubungan awam di semua kementerian, jabatan dan agensi sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pihak Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bagi tujuan hebahan.
Dalam perkembangan sama, Datu Hii menegaskan semua yang terlibat perlu mempunyai strategi untuk meningkatkan hebahan sama ada menerusi kerjasama dengan pihak UKAS mahupun Televisyen Sarawak (TVS), hantaran di laman web, jerayawara dan sebagainya supaya rakyat di seluruh Sarawak dapat mengetahui hala tuju kerajaan.
Sementara itu, Pengarah UKAS merangkap Setiausaha Jawatankuasa Koordinasi PRO, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, menjelaskan sebanyak 139 inisiatif baharu telah dilancarkan Premier Sarawak yang memerlukan hebahan yang lebih giat daripada semua pihak.
Dalam mesyuarat sama, turut dibincangkan mengenai permohonan kerjasama agensi terlibat menyerahkan bahan video pelancaran, gimik serta slaid majlis dan program rasmi kepada UKAS, penetapan format pelaporan bagi cadangan program kementerian bagi tahun 2026, laporan Talikhidmat, penggunaan papan iklan dan papan tanda digital di bawah seliaan UKAS, panduan perkhidmatan siaran langsung oleh UKAS dan berkaitan perkhidmatan penyediaan video montaj oleh UKAS.
Turut hadir, Setiausaha Akhbar kepada Premier Sarawak Dato Ambrose Cheng Loi Hee, Ketua-Ketua Jabatan serta wakil kementerian, jabatan dan agensi terlibat yang lain. -EDISI UKAS