Stor Penyimpanan Baharu Kampung Sungai Lingkau Hilir Dibina
SIMUNJAN: Projek pembinaan stor penyimpanan baharu di Kampung Sungai Lingkau Hilir kini bermula di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Simunjan 2024.
Penyerahan tapak projek telah disempurnakan oleh Penolong Jurutera Majlis Daerah Simunjan (MDS), Muhammad Amirul Zaki Hamzah yang mewakili MDS kepada kontraktor yang dilantik.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pegawai Khas kepada ADUN Simunjan, Raffendy Ariffen, serta Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Sungai Lingkau, Tawan Jawa.
Turut hadir Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan, Bojeng Ali, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Simunjan merangkap Exco Pemuda PBB Negeri, Jamil Semoni, pegawai-pegawai berkaitan, wakil kontraktor serta penduduk kampung setempat.
Projek pembinaan stor ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM80,000 dan akan dilaksanakan dalam tempoh 17 minggu, bermula 27 Januari 2026 hingga 27 Mei 2026.
Program penyerahan tapak ini bertujuan memastikan pihak kontraktor memahami skop kerja, spesifikasi teknikal serta keperluan keselamatan sebelum kerja pembinaan dimulakan.
Dalam pada itu, ia juga menjadi platform penyelarasan antara MDS, kontraktor dan wakil komuniti bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, teratur dan berkesan.
MDS akan menjalankan pemantauan berkala sepanjang tempoh pelaksanaan projek bagi menjamin kualiti kerja serta pematuhan kepada jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
Pembinaan stor penyimpanan ini dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Kampung Sungai Lingkau Hilir, khususnya dalam pengurusan kemudahan kampung serta menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di peringkat komuniti setempat.-EDISI UKAS
Disediakan oleh:
Muhammad Nizam Othman
UKAS Bahagian Samarahan