Pelabuhan Tanjung Manis Berpotensi Jadi Pemangkin Pembangunan Tanjung Manis Economic Growth Area (T-MEGA)
KUCHING: Hala tuju dan penyemarakkan kemudahan Pelabuhan Tanjung Manis dan pembangunan ekonomi di T-MEGA telah dibincangkan dalam satu mesyuarat melibatkan PUSAKA Logistics and Services Sdn Bhd, Top Sommet Global Sdn Bhd dengan kerjasama Beibu Gulf Port Group.
Memorandum Persefaham (MOU) telah ditandatangani sebagai titik permulaan usahasama kajian terhadap potensi pelabuhan tersebut sebagai "gateway" dan pemangkin aktiviti ekonomi di wilayah tengah Sarawak.
Perbincangan tersebut juga memberi tumpuan kepada kajian kebolehpasaran Pelabuhan Tanjung Manis sebagai hab perkapalan yang strategik dengan mengambilkira sokongan rangkaian logistik serantau melalui sinergi yang dihasilkan melalui kerjasama dengan rakan-rakan kongsi strategik di samping peluang memperluaskan aktiviti ekonomi berasaskan perdagangan, industri agro pertanian dan "halal food processing" serta perkhidmatan berkaitan.
Mesyuarat pada Rabu itu dipengerusikan oleh Penasihat (SME), Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais yang berkongsi gambaran latar belakang serta kepentingan Pelabuhan Tanjung Manis dalam konteks pembangunan ekonomi Sarawak dan lokasi yang strategik ke pasaran global melalui laluan perkapalan utama serantau.
Menurut beliau, Tanjung Manis kini mempunyai kelebihan dari segi kesalinghubungan apabila beberapa jambatan telah dibina bagi menghubungkan bandar-bandar utama ke kawasan Tanjung Manis, sekaligus meningkatkan akses logistik dan potensi pelaburan.
Pemantapan kemudahan dan aktiviti Pelabuhan Tanjung Manis diyakini mampu memberi impak positif kepada sosioekonomi setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan, pengembangan perniagaan tempatan serta pengukuhan rantaian bekalan, khususnya dalam sektor halal dan ekonomi maritim.
Perbincangan strategik ini selari dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk mengoptimumkan penggunaan infrastruktur sedia ada serta merancakkan pembangunan wilayah pesisir secara mampan dan inklusif, sejajar dengan agenda pembangunan ekonomi negeri.-EDISI UKAS