MPKS Tegas Ambil Tindakan Terhadap Pembuangan Sampah Haram di Jalan Sarawak Turf Club
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) memberi amaran keras terhadap aktiviti pembuangan sampah secara haram yang didapati berulang kali berlaku di lokasi sama, khususnya di Jalan Sarawak Turf Club, Batu 7, susulan beberapa aduan yang diterima daripada orang awam.
Bertindak atas aduan tersebut, MPKS telah melaksanakan pemantauan di kawasan berkenaan serta mengarahkan kerja-kerja pembersihan segera dijalankan bagi memastikan tahap kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan persekitaran awam sentiasa terpelihara.
MPKS dalam kenyataannya menzahirkan rasa amat kecewa terhadap sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu yang terus melakukan pembuangan sampah secara haram tanpa mempedulikan kesan negatif terhadap alam sekitar serta kualiti hidup penduduk setempat.
Sehubungan itu, MPKS menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan di bawah Undang-Undang Kecil Majlis Perbandaran Kota Samarahan yang berkuat kuasa.
Pesalah boleh dikenakan tindakan kompaun atau pendakwaan di mahkamah sekiranya sabit kesalahan.
Dalam pada itu, MPKS menyeru kerjasama semua pihak agar menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah secara haram kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil.
MPKS turut mengingatkan bahawa usaha mengekalkan kebersihan persekitaran adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan kesedaran serta komitmen berterusan daripada seluruh masyarakat demi kesejahteraan dan imej perbandaran Kota Samarahan. -EDISI UKAS