Jambatan Rosak di Jalan Chin Ping Akan Dibina Semula
KOTA SAMARAHAN: Sebuah jambatan yang mengalami kerosakan di Jalan Chin Ping, Kota Samarahan akan dibina semula selepas dikenal pasti sebagai laluan penting penduduk setempat dan berisiko terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, satu lawatan pemeriksaan ke atas jambatan berkenaan telah diadakan melibatkan Pusat Khidmat DUN Stakan, Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) serta Penghulu Stakan Cina, Chai Hen Fui pada Selasa.
Lawatan tersebut bertujuan menilai tahap kerosakan struktur jambatan dan mengenal pasti keperluan tindakan segera bagi menjamin keselamatan penduduk.
Hasil daripada pemeriksaan dan perbincangan bersama pihak berkaitan, Projek Membina Jambatan Jalan Chin Ping, Kota Samarahan telah dimasukkan ke dalam senarai Projek Bencana Bahagian Samarahan sebagai langkah proaktif menangani risiko keselamatan serta memastikan kelancaran perhubungan penduduk.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat dalam menangani isu infrastruktur asas demi kesejahteraan serta keselamatan masyarakat setempat.
Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Pengerusi MPKS, Kr Daily Joseph, kakitangan MPKS serta wakil penduduk kampung yang terkesan dengan keadaan jambatan tersebut. -EDISI UKAS