Dua Tangki Air Dihantar Segera ke Kampung Sungai Mata Atasi Gangguan Bekalan Air
KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Sungai Mata, Kota Samarahan menerima bantuan segera apabila dua buah tangki air berkapasiti 13,500 liter setiap satu dihantar ke kampung berkenaan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih yang dialami sebelum ini.
Penghantaran tangki air tersebut adalah hasil permintaan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang bersama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Difahamkan, kedua-dua tangki air itu akan dilengkapi dengan sistem perpaipan yang membolehkan air bersih disalurkan terus ke rumah-rumah penduduk kampung, sekali gus memastikan kelancaran aktiviti harian serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi telah mengarahkan kementerian di bawah seliaannya supaya penghantaran tangki air berkenaan dilaksanakan dengan kadar segera sebagai langkah proaktif bagi memastikan penduduk terjejas dapat menikmati semula bekalan air bersih. -EDISI UKAS