Tingkat Kesiapsiagaan & Kesedaran Keselamatan Kebakaran
MIRI: Tahap kesiapsiagaan dan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Program Pematuhan STB yang dijalankan dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong.
Program di Kompleks Zon Maritim Miri pada Selasa itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan kebakaran di premis kerajaan, selain memberi pendedahan menyeluruh berkaitan langkah pencegahan serta tindakan awal sekiranya berlaku kecemasan.
Antara pengisian utama program termasuk ceramah keselamatan kebakaran bangunan yang memberi penekanan kepada pengurusan risiko kebakaran, penggunaan peralatan keselamatan serta kepentingan tindak balas pantas ketika insiden kecemasan.
Program turut disusuli dengan kawad pengungsian bangunan bagi melatih peserta melaksanakan prosedur pengosongan bangunan secara sistematik, selamat dan teratur.
Selain itu, demonstrasi pemadaman api menggunakan alat pemadam api dan tong gas telah dilaksanakan sekali gus memberi peluang kepada peserta mempraktikkan teknik pemadaman api yang betul.
Penganjuran julung kali program seumpama ini lmencerminkan komitmen berterusan agensi tersebut dalam mematuhi piawaian keselamatan kebakaran serta memperkukuh budaya kerja selamat di tempat bertugas.-EDISI UKAS