Konsert Imran Ajmain Promosi Miri Sebagai Destinasi Pelancongan
MIRI: Penganjuran konsert “Imran Ajmain – Malam Seribu Tahun – Live in Miri” pada 13 Februari depan dilihat berupaya memperkukuh daya tarikan pelancongan Sarawak khususnya di bandar raya Miri selaras dengan sasaran Visit Malaysia Year (VMY) 2026.
Konsert di Eastwood Valley Golf & Country Club itu akan menampilkan penyanyi popular Imran Ajmain sekali gus sebagai platform strategik mempromosikan Miri sebagai destinasi pelancongan pilihan, sejajar dengan inisiatif Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak mempergiatkan pembangunan industri pelancongan dan ekonomi kreatif negeri ini.
Setakat ini kira-kira 35 peratus daripada jumlah tiket yang terjual telah dibeli oleh peminat dari Brunei Darussalam, sekali gus mencerminkan potensi besar acara berkenaan dalam merancakkan pergerakan pelancongan rentas sempadan.
Penganjuran konsert berkenaan bukan sahaja memenuhi permintaan peminat tempatan dan serantau, malah menyokong usaha Sarawak untuk memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi acara dan hiburan bertaraf antarabangsa.-EDISI UKAS