RM30 Juta Diluluskan Sambung Projek Tebingan Sungai Sematan
SEMATAN: Projek Tebingan Sungai Sematan akan diteruskan lagi dengan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, peruntukan tambahan ini bagi menyambung laluan tebingan sungai sedia ada sehingga ke kawasan Normah Seafood Family di Tanah Hitam I.
"Projek tersebut turut merangkumi pembinaan sebuah jeti baharu yang dijangka mampu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat selain merancakkan lagi sektor pelancongan di kawasan pesisir Sematan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Gerai Makan dan Tebingan Sungai Sematan pada Rabu.
Terdahulu, Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim memaklumkan sebanyak 19 unit Gerai Makan Sematan telah dinaik taraf menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM926,030.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek menaik taraf Tebingan Sungai Sematan yang dibiayai Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM849,980 selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ADUN Tanjong Datu atas kepimpinan berterusan dalam memperkasa pembangunan daerah, selain mengucapkan terima kasih kepada para kontraktor dan pasukan Majlis Daerah Lundu yang berjaya menyiapkan projek mengikut jadual serta piawaian ditetapkan. -EDISI UKAS