KUCHING: The Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn. Bhd. (SCOPE) mengumumkan pembukaan permohonan bagi pengambilan akhir Program Latihan Pemantapan Graduan Sarawak – Program Kesediaan Tempat Kerja (GETS-WRP) untuk Mac dan April 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE, Joseph Lim berkata, program GETS-WRP terus memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri.
“Program Kesediaan Tempat Kerja GETS membantu graduan memahami jangkaan majikan dan bersedia untuk dunia pekerjaan sebenar.
“Kami menggalakkan graduan yang layak untuk merebut peluang dalam pengambilan akan datang bagi meningkatkan prospek kerjaya mereka,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
GETS-WRP merupakan program berstruktur dan dipacu industri yang bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan Sarawak melalui pemantapan kompetensi tempat kerja, kemahiran praktikal serta pendedahan profesional.
Program ini juga selari dengan usaha Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kesiapsiagaan graduan dan pembangunan bakat di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Susulan sambutan menggalakkan daripada kohort terdahulu, pengambilan bagi Mac dan April 2026 akan memberi tumpuan kepada persediaan graduan untuk memasuki alam pekerjaan secara segera melalui latihan yang merangkumi kemahiran kebolehpasaran, komunikasi profesional dan etika kerja, pembangunan kemahiran insaniah serta penglibatan industri termasuk peluang penempatan.
Pengambilan bagi Mac dan April 2026 adalah peluang terakhir menyertai GETS-WRP, terbuka kepada graduan Sarawak terutama yang menganggur dengan tempat terhad dan permohonan awal digalakkan.
Maklumat lanjut mengenai GETS-WRP dan permohonan boleh didapati di https://gets.scopetraining.com.my/ atau dengan menghubungi Sekretariat GETS-WRP, Mariane (mariane@scope.net.my) dan Nadzirah (nadzirah@scope.net.my) di talian 082-231 230. -EDISI UKAS