Program Wanita Dinamik & PERANTIS Bantu Perkasa Wanita Negara
KUCHING: Program Wanita Dinamik dan Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) telah membuktikan kejayaannya dalam membantu memperkasakan wanita di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2021, program Wanita Dinamik telah membantu 21,274 wanita di mana dari jumlah ini, seramai 8,000 wanita dari Sarawak menerima manfaatnya.
“Setiap peserta diberi geran RM500 untuk perusahaan kecil masing-masing dan khusus untuk Sarawak, hampir RM4 juta diperuntukkan bagi menyokong peluang keusahawanan mereka,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kuching, pada Rabu.
Sementara itu bagi program PERANTIS, beliau memberitahu, seramai 100 wanita telah dipilih di seluruh negara dan 11 daripadanya dari Sarawak.
“Mereka menerima geran RM50,000 untuk melatih wanita lain dalam bidang kepimpinan, kreatif dan keusahawanan.
“Secara keseluruhan, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada 4,122 peserta termasuk 644 dari Zon Borneo,” katanya lagi.
Menyentuh isu kesihatan wanita, Dato Sri Nancy yang juga Menteri Bertanggungjawab ke atas Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo turut menjelaskan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPK) pada tahun ini menyasarkan seramai 32,000 wanita untuk menjalani saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA bagi membolehkan kes dikesan lebih awal dan nyawa diselamatkan.
Katanya, Kampung Santubong di Sarawak telah dipilih sebagai lokasi perintis dan lebih 53,000 wanita Sarawak telah disaring sejak beberapa tahun lalu di bawah program ini.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS