Pampasan Hampir RM2 Juta Kepada 85 Penerima Projek Naik Taraf Jalan Di Debak
DEBAK: Kerajaan Sarawak membuktikan komitmen berterusan dalam melindungi hak dan kebajikan rakyat apabila menyalurkan pampasan berjumlah RM1,997,871.45 kepada 85 penerima yang terlibat dalam projek naik taraf Jalan Paya Bakong dan jajaran di sini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, pampasan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara adil, telus dan berlandaskan undang-undang.
“Kerajaan sentiasa memastikan hak rakyat dipelihara. Setiap pemilik tanah yang terlibat diberikan pampasan sewajarnya berdasarkan penilaian yang telus dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Pampasan di Dewan Millenia Debak, pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu menambah, projek yang diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri pada 4 April 2022 itu melibatkan pengambilan balik 115 lot tanah merangkumi 53 lot Tanah Berhakmilik, 53 lot Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan sembilan lot tanah Kerajaan dengan keluasan keseluruhan 21.7560 hektar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, atas penyelarasan cekap serta pelaksanaan tersusun dalam urusan pengambilan balik tanah dan penyampaian pampasan kepada penerima.
Hadir sama, wakil Pejabat Residen Bahagian Betong Florence Johnny, wakil Pejabat Daerah Bahagian Betong Mohammad Shahril Gasit, Penolong Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Debak Mohammad Khairurani Mohamad Ibrahim serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS