Projek Bangunan Baharu SK Datuk Bandar Debak Bernilai RM17.9 Juta Bakal Dilaksanakan
DEBAK: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Projek Pembinaan Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Bandar Debak bernilai RM17.9 juta sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkasa infrastruktur pendidikan khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, projek berkenaan akan melibatkan pembinaan bangunan baharu setinggi tiga tingkat bagi menggantikan struktur sedia ada yang telah berusia serta tidak lagi sesuai menampung keperluan semasa murid dan warga sekolah.
“Pembinaan bangunan baharu ini bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif, selaras dengan keperluan pendidikan masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Pampasan Projek Naik Taraf Jalan Paya Bakong dan jajaran Debak, di sini pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas menambah, tempoh pembinaan projek tersebut dijangka mengambil masa 24 bulan dari tarikh pelaksanaan dan diyakini mampu memberi impak positif terhadap perkembangan pendidikan di kawasan Debak serta sekitarnya.
Tambahnya, projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf kemudahan pendidikan luar bandar, sejajar dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang menekankan keseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar.
“Kerajaan sentiasa meletakkan pendidikan sebagai keutamaan kerana ia merupakan tunjang utama pembangunan modal insan negeri.
"Kemudahan yang lebih baik akan membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih tersusun dan berkesan,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS