Jambatan I-Beam Baharu SK Tulai Diluluskan Di Bawah RTP 2026
MERADONG: Projek pembinaan baharu jambatan jenis I-Beam sebagai akses masuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tulai dan Rumah Panjang Tr Sandom, Sungai Tulai telah diluluskan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Tahun 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 12 meter dan selebar empat meter dengan kos keseluruhan berjumlah RM140,000.
“Pembinaan jambatan ini amat penting bagi memastikan akses yang lebih selamat dan lancar khususnya kepada murid, guru serta ibu bapa SK Tulai selain penduduk Rumah Panjang Tr Sandom yang sebelum ini berdepan kesukaran terutama ketika musim hujan dan paras air sungai meningkat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan pada Rabu.
Tambah beliau, infrastruktur asas seperti jambatan merupakan keperluan utama masyarakat luar bandar dan menjadi nadi kepada kelancaran urusan harian termasuk pendidikan, keselamatan serta mobiliti penduduk setempat.
Lawatan tersebut turut disertai Guru Besar SK Tulai, Stanley Nyalin, Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sarikei, Faliana Mia Tibong serta Tuai Rumah Sandom Agan yang mewakili komuniti rumah panjang.
Dalam pada itu, komuniti Rumah Panjang Tr Sandom menyambut baik kelulusan projek berkenaan kerana ia dijangka memudahkan pergerakan penduduk bagi urusan harian seperti membawa hasil pertanian, mendapatkan rawatan kesihatan dan urusan sosial.
Datuk Ding menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar dilaksanakan secara berterusan agar masyarakat menikmati kemudahan yang setara dan berkualiti.
Projek berkenaan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat selepas proses teknikal dan perolehan diselesaikan oleh agensi pelaksana, DID Bahagian Sarikei.- EDISI UKAS