Datuk Snowdan Tinjau Kerja Pembaikan Kabel Elektrik Bawah Tanah
BALAI RINGIN: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan turun padang meninjau kerja-kerja pembaikan kabel elektrik bawah tanah yang tidak berfungsi di kawasannya pada Khamis.
Kerosakan kabel elektrik tersebut telah menyebabkan gangguan bekalan tenaga elektrik ke pam di Loji Air Terawat Balai Ringin, sekali gus mengakibatkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Balai Ringin.
Menurut Datuk Snowdan, lawatan tapak itu penting bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan demi mengurangkan kesan gangguan kepada penduduk setempat.
"Saya berharap agar kerja-kerja pembaikan kabel elektrik tersebut dapat disiapkan dengan segera supaya bekalan elektrik ke loji air dapat dipulihkan, seterusnya mengembalikan bekalan air kepada penduduk yang terjejas secepat mungkin," katanya.
Beliau menegaskan kepentingan kerjasama dan koordinasi yang baik antara Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), pihak kontraktor, Sarawak Energy Berhad (SEB) serta Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin bagi mempercepatkan proses pembaikan. -EDISI UKAS