Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Projek RTP 2027 Daerah Tebedu Berlangsung Lancar
TEBEDU: Mesyuarat Penyelarasan Penyediaan Senarai Cadangan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 bagi Daerah Tebedu telah berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Tebedu, pada Khamis.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar itu menghimpunkan wakil-wakil Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Serian dan beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyelaras cadangan projek pembangunan luar bandar.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan penyelarasan yang berkesan bagi memastikan projek-projek yang dicadangkan benar-benar memberi manfaat kepada penduduk luar bandar di Daerah Tebedu, khususnya dari aspek infrastruktur asas, kemudahan awam serta projek berimpak tinggi.
Pembentangan senarai cadangan projek RTP 2027 telah dikemukakan oleh wakil Residen Bahagian Serian, Nur Juraniza Bujang, diikuti wakil Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Serian, Awang Landon, wakil DUN Kedup Boniface Alin, wakil DUN Tebedu Patehi Abdul Rahman serta wakil DUN Tarat Juana Frederick Ginda.
Mesyuarat turut membincangkan kesesuaian, keutamaan dan kebolehlaksanaan setiap cadangan projek yang dikemukakan dengan penekanan kepada kepada pelaksanaan projek yang selari dengan objektif RTP 2027 serta mampu memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti luar bandar di Daerah Tebedu. -EDISI UKAS