Pegawai Daerah Kuching Lawat Pejabat Daerah Kecil Padawan
PADAWAN: Pegawai Daerah Kuching, Zaidi Sarkawi telah mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Kecil Padawan bagi menilai keperluan semasa serta memantau keberkesanan penyampaian perkhidmatan pentadbiran negeri di peringkat akar umbi.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong.
Lawatan tersebut menjadi platform penting untuk memperkukuhkan hubungan kerja antara Pejabat Daerah Kuching dan Pejabat Daerah Kecil Padawan dalam usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat setempat.
Dalam lawatan tersebut, Pegawai Daerah Kuching menegaskan kepentingan kerjasama erat dan berterusan antara kedua-dua pihak agar segala urusan pentadbiran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, responsif dan menepati keperluan masyarakat, khususnya penduduk di kawasan Daerah Kecil Padawan.
Zaidi turut diberikan taklimat berkaitan pencapaian tahunan meliputi aspek Operasi dan Pengurusan yang telah dicapai sepanjang tahun 2024 hingga 2025.
Selain itu, beliau turut meninjau keadaan fizikal pejabat yang memerlukan perhatian serta tindakan segera bagi memastikan persekitaran kerja yang lebih selesa, kondusif dan efisien untuk kakitangan serta pelanggan yang berurusan.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Pejabat Daerah Kecil Padawan sejak memegang jawatan Pegawai Daerah Kuching. -EDISI UKAS