Sarawak Anjur Special Olympics Malaysia Games 2026, Bintulu Jadi Venue Utama
KUCHING: Sarawak diberi kepercayaan menjadi tuan rumah temasya sukan berprestij peringkat kebangsaan apabila Bintulu dipilih sebagai venue utama Special Olympics Malaysia Games Kali Ke-6, yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 April 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pemilihan Bintulu adalah berdasarkan kesiapsiagaan serta kelengkapan fasiliti sukan sedia ada yang mampu menampung keseluruhan lapan acara yang akan dipertandingkan sepanjang temasya tersebut.
“Special Olympics Malaysia Games kali ke-6 ini akan diadakan sepenuhnya di Bintulu kerana bandar ini mempunyai kemudahan yang lengkap untuk kesemua lapan acara sukan yang dipertandingkan, selain Kuching ketika ini sedang membuat persiapan bagi penganjuran temasya lain,” katanya.
Perkara tersebut dimaklumkan olehnya semasa Sidang Media Mesyuarat Jawatankuasa Induk Special Olympics Malaysia (SOM) Games 2026 di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah memberitahu, majlis perasmian temasya berkenaan dijadualkan berlangsung pada 25 April 2026, manakala majlis penutupan pula pada 26 April 2026.
Jelasnya, seramai 778 peserta dijangka terlibat merangkumi atlet, jurulatih, pegawai serta petugas dari 11 negeri termasuk Sarawak selaku tuan rumah.
“Keseluruhan peserta itu melibatkan atlet, jurulatih, pakar serta pegawai dari Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Pahang serta Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Kuala Lumpur,” jelasnya.
Dato Sri Fatimah yang juga Pengerusi Special Olympics Sarawak menegaskan bahawa falsafah utama Special Olympics bukanlah semata-mata mengejar pingat, sebaliknya memberi penekanan kepada penyertaan atlet berkeperluan khas.
“Apa yang ditekankan dalam Special Olympics ialah penyertaan. Seperti tagline kami, ‘Let me win, but if I fail, let me be brave enough to try’. Dengan menyertai temasya ini, mereka sebenarnya sudah pun menjadi pemenang,” katanya.
Selain acara sukan jelasnya, temasya ini turut akan melibatkan penganjuran Healthy Athletes Program yang memberi peluang kepada atlet menjalani saringan kesihatan secara percuma.
“Program Healthy Athletes ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada atlet kita menjalani saringan kesihatan yang mungkin tidak mereka peroleh dalam keadaan biasa. Daripada rekod sebelum ini, ada atlet yang hanya mengetahui masalah kesihatan mereka selepas melalui program ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, Sarawak akan menghantar seramai 248 atlet bagi memastikan lebih ramai atlet tempatan mendapat peluang menonjolkan bakat dan potensi masing-masing.
Turut hadir dalam sidang ialah Pengerusi Special Olympics Bintulu Chapter Dato Ruslan Abdul Ghani dan Setiausaha Tetap KPWK Alina Abdullah @ Colliner Gohe.-EDISI UKAS