UNIFOR Salur RM300,000 Naik Taraf Gereja St. Philip Lubok Antu
LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak melalui Unit Untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus komited membantu pembangunan rumah ibadat apabila sumbangan cek berjumlah RM300,000 disalurkan kepada Gereja St. Philip Lubok Antu bagi tujuan kerja-kerja naik taraf bangunan gereja.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, kepada Revd. Father Afron Gori, Priest-In-Charge Gereja St. Philip Lubok Antu.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan akan digunakan bagi melaksanakan projek “New Extension” Fasa I Gereja St. Philip Lubok Antu, sekali gus meningkatkan kemudahan dan keselesaan para penganut dalam menjalankan aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan.
Penyerahan cek berkenaan telah berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat Batang Ai.
Datuk Dr Malcolm menegaskan bahawa inisiatif UNIFOR mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan semua penganut agama di negeri ini terus terpelihara, selaras dengan aspirasi memupuk keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Beliau turut berharap sumbangan tersebut dapat mempercepatkan pelaksanaan projek naik taraf gereja serta memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemanca Grang Juben, Penghulu Albert Kelinsing, Kaunselor Larkin Gol, Kaunselor Selutan Anggie, serta ahli Parish Church Council (PCC) Gereja St. Philip Lubok Antu.- EDISI UKAS