Gelanggang Petanque Telaga Air Kini Dilengkapi Lampu Solar
TELAGA AIR: Gelanggang Petanque Telaga Air dilengkapi dengan kemudahan lampu solar serta set alatan sukan petanque bagi kegunaan penduduk setempat dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat komuniti.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, kepentingan menggalakkan penglibatan masyarakat, khususnya golongan belia dan wanita, dalam aktiviti sukan sebagai medium membentuk gaya hidup sihat, memperkukuh silaturahim serta menjauhkan generasi muda daripada gejala negatif.
"Penyediaan kemudahan seperti lampu solar membolehkan gelanggang digunakan dengan lebih selesa dan selamat, termasuk pada waktu malam, selain menyokong penggunaan tenaga hijau yang mesra alam.
"Langkah ini juga dilihat sebagai usaha jangka panjang untuk memastikan kemudahan awam terus dimanfaatkan secara optimum oleh masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Lampu Solar Gelanggang Petanque Serta Alatan Sukan ketika satu program anjuran PBB Cawangan N.4 Pantai Damai di Gelanggang Petanque Telaga Air pada Sabtu.
Selain itu, penyerahan set alatan petanque membuka ruang kepada lebih ramai penduduk untuk mencuba dan meminati sukan tersebut, sekali gus mencungkil bakat baharu dari peringkat kampung. Kemudahan yang lengkap ini dijangka mampu meningkatkan kualiti latihan serta penganjuran aktiviti dan kejohanan pada masa hadapan.
Menariknya, program ini turut diserikan dengan perlawanan persahabatan petanque bersama Persatuan Petanque Telaga Air, yang berjaya mengeratkan hubungan antara komuniti setempat serta memperkukuh semangat kesukanan. -EDISI UKAS