Program Pickle Ball Eratkan Silaturahim Komuniti Kampung Bintawa Batu
KUCHING: Usaha memperkasakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat terus diperkukuh menerusi penganjuran program penyerahan peralatan sukan serta Perlawanan Persahabatan Pickle Ball di Gelanggang Takraw, Kampung Bintawa Batu, pada Jumaat.
Program itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Beliau telah menyempurnakan penyerahan sumbangan peralatan sukan kepada komuniti setempat sebagai sokongan terhadap usaha menggalakkan aktiviti riadah dan amalan gaya hidup sihat, khususnya dalam kalangan golongan belia dan warga emas.
Perlawanan persahabatan pickle ball yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat kesukanan itu berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh semangat perpaduan di peringkat akar umbi.
Penganjuran program seumpama ini mencerminkan keprihatinan Cawangan PBB Pantai Damai terhadap kesejahteraan rakyat, bukan sahaja dari aspek pembangunan fizikal, malah merangkumi kesihatan dan keharmonian sosial komuniti setempat.
Penduduk Kampung Bintawa Batu juga menyambut baik inisiatif berkenaan dan berharap agar lebih banyak program berteraskan komuniti dapat dianjurkan pada masa akan datang demi melahirkan masyarakat yang sihat, aktif dan bersatu padu.- EDISI UKAS