Wanita Digesa Perkasa Peranan Akar Umbi Salur Inisiatif Kerajaan
SADONG JAYA: Penglibatan aktif wanita dalam aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan rakyat tidak tercicir daripada pelbagai inisiatif serta bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Shapiee berkata, wanita khususnya Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sadong Jaya berperanan sebagai ejen penyampai maklumat yang berkesan kepada masyarakat, terutama dalam membantu golongan sasar memahami serta mengakses pelbagai program dan bantuan kerajaan.
Menurut beliau, keupayaan wanita untuk mendekati komuniti secara langsung melalui aktiviti kemasyarakatan, ziarah serta program santai menjadikan mereka penghubung penting antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
“Wanita PBB perlu sentiasa turun padang, mendekati komuniti dan menyampaikan penerangan mengenai inisiatif serta bantuan kerajaan supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Santai Wanita Sadong Jaya Bersama YB Parlimen di Anjung Kiri Masjid Darul Iman Sadong Jaya, di sini pada Sabtu.
Rodiyah turut menegaskan bahawa penglibatan aktif wanita bukan sahaja memperkukuh jaringan kemasyarakatan, malah membantu memastikan pembangunan di peringkat akar umbi dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh.
Sebagai simbolik perasmian program, beliau telah menanam pelbagai jenis bunga hiasan di sekitar kawasan Masjid Darul Iman Sadong Jaya sebagai tanda sokongan terhadap usaha menceriakan persekitaran serta memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti.
Dalam program berkenaan, Rodiyah turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 12 buah keluarga yang memerlukan dari Kampung Jaie, Kampung Bilis dan beberapa kampung sekitar Sadong Jaya sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.-EDISI UKAS