Sambutan Hari Kanser Sedunia Perkukuh Kesedaran, Sokongan Masyarakat Penting Bagi Pesakit
KUCHING: Sambutan Hari Kanser Sedunia terus menjadi platform penting untuk memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan sokongan menyeluruh kepada pesakit kanser serta mengingatkan masyarakat bahawa perjuangan melawan penyakit itu merupakan tanggungjawab bersama.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, kanser merupakan penyakit yang memberi kesan menyeluruh bukan sahaja kepada pesakit, malah turut menjejaskan kesejahteraan emosi dan fizikal keluarga serta komuniti sekeliling, justeru memerlukan kefahaman serta sokongan padu daripada semua pihak.
“Sokongan moral, kasih sayang dan doa daripada kita adalah kekuatan yang tidak ternilai untuk mereka.
“Pesakit kanser seharusnya diberikan sokongan yang bersemangat dan peransang untuk mendapatkan rawatan bagi mengatasi cubaan yang hebat ini.
“Masyarakat perlu menggantikan perasaan takut terhadap kanser ini dengan kefahaman dan sokongan, kasih sayang dan kesabaran keluarga dari segi emosi dan fizikal dalam perjalanan rawatan kanser,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran penataan cahaya Jambatan Darul Hana, air pancut serta Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di Tebingan Sungai Sarawak, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Dato Hanifah menegaskan bahawa statistik menunjukkan peningkatan kes kanser dari tahun ke tahun, namun ramai pesakit masih dikesan pada peringkat lewat akibat kurang kesedaran serta kelewatan menjalani pemeriksaan kesihatan.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan pemeriksaan dan saringan kesihatan secara berkala bagi mengesan penyakit lebih awal sekali gus meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada badan bukan kerajaan (NGO) khususnya Sarawak Cancer Association and Awareness Network (SCAN) atas usaha advokasi dan program outreach yang telah dilaksanakan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanser.
Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 membawa slogan ‘United by Unique’ yang menekankan kepentingan perpaduan dan sokongan moral kepada semua individu yang sedang berjuang melawan kanser.
Penataan cahaya pada struktur ikonik negeri tersebut menjadi simbol solidariti rakyat Sarawak dalam menyokong usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap penyakit berkenaan.
Turut hadir ialah Penasihat SCAN Datin Dayang Mariani Abang Zain, Presiden Society of Cancer Advocacy & Awareness Kuching Chris Cheng serta Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Maklumat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Sharul Sulaiman yang mewakili Pengarah DBKU.-EDISI UKAS