Premier Sarawak Luangkan Masa Saksikan Aksi KCFC VS NSFC Di Stadium Negeri
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluangkan masa hadir ke Stadium Negeri, Petra Jaya, pada Sabtu bagi menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kuching City FC (KCFC) menentang Negeri Sembilan FC (NSFC).
Ketibaan beliau sekitar jam 8 malam disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandi Ali Hassan, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan kepimpinan negeri terhadap pembangunan sukan bola sepak di Sarawak.
Kehadiran Premier Sarawak itu turut mencatat detik bermakna apabila ia merupakan penampilan sulung beliau menyaksikan aksi KCFC selepas kelab tersebut kembali mewarnai saingan bola sepak tanah air sejak sedekad lalu.
Perlawanan yang berlangsung dalam suasana penuh semangat itu berjaya menarik kehadiran 6,535 penonton, sekali gus membuktikan sokongan padu penyokong tempatan terhadap KCFC serta kebangkitan bola sepak Sarawak di peringkat nasional.
Turut hadir, Presiden KCFC Dato Fazzrudin Abdul Rahman. -EDISI UKAS