Program ‘Mari Mencuba Sukan Muaythai’ Terima Sambutan Menggalakkan Di Bintulu
BINTULU: Program Mari Mencuba Sukan Muaythai yang berlangsung di Naim Street Mall, Bintulu Paragon pada Sabtu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan penyertaan seramai 198 orang peserta daripada pelbagai peringkat umur sekitar Bintulu.
Program ini bertujuan memperkenalkan sukan muaythai kepada masyarakat umum sebagai satu platform pembangunan sahsiah, disiplin diri dan gaya hidup sihat, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan belia.
Program ini dikendalikan oleh Jurulatih Sepenuh Masa Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Aman Koboi, bersama Jurulatih Zulkeplia Abdul Rahman, serta dibantu oleh barisan jurulatih berpengalaman dari Kelab Muaythai PS Bintulu.
Promosi program ini telah dilaksanakan lebih awal dan secara berterusan, termasuk semasa pelancaran program ‘Friend of Scout’, yang secara tidak langsung menyumbang kepada tahap penyertaan yang tinggi serta sokongan padu daripada komuniti setempat.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Pendidikan Bintulu, Persatuan Muaythai Bintulu, Kelab PS Muaythai, Perbadanan Sukan Sarawak, serta Naim Street Mall Bintulu Paragon atas sokongan, kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga menjayakan program ini.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai atlet Muaythai berpotensi, di samping memupuk minat masyarakat terhadap sukan tempur yang berdisiplin dan berprestij ini. - EDISI UKAS