Strategi Sekat Pemain Utama Berjaya Tumbangkan Negeri Sembilan
KUCHING: Strategi menyekat pemain utama menjadi senjata Kuching City FC (KCFC) untuk menumbangkan Negeri Sembilan FC 2-0 dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Sabtu.
Ketua Jurulatih KCFC Aidil Sharin Sahak berkata, perancangan rapi dibuat untuk menutup ruang dan mematikan peranan pemain utama Negeri Sembilan.
Beliau turut memuji komitmen para pemain yang memahami kekuatan lawan khususnya selepas pasukan tersebut kehilangan dua mata dalam pertemuan terdahulu di Paroi.
"Kami cuba menyekat beberapa pemain utama, dan saya fikir para pemain melakukannya dengan sangat baik.
"Secara keseluruhan, anda dapat lihat kami hanya bermain dengan tiga pertahanan hari ini kerana kami mahu menang dan kami mahu menyerang.
"Kami menggunakan Pedro dan Ramadhan lebih ke bahagian sisi, dan saya sangat gembira dengan prestasi mereka," katanya dalam sidang media selepas perlawanan berakhir.
Tambahnya, beberapa pelarasan taktikal turut dilakukan pada separuh masa kedua bagi memastikan benteng pertahanan terus kukuh dan ancaman lawan dapat dikawal.
Namun, beliau akan terus mencari ramuan untuk memperbaiki penyudah bagi memastikan jaringan berjaya dihasilkan setiap kali peluang hadir. -EDISI UKAS