Kehadiran Premier Sarawak Petanda Baik Kepada Pembangunan Bola Sepak Negeri
KUCHING: Kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyaksikan perlawanan Kuching City FC (KCFC) menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Negeri malam tadi menunjukkan petanda baik kepada pembangunan bola sepak Sarawak.
Ketua Jurulatih KCFC Aidil Sharin Sahak berkata, kehadiran pertama kali Premier selepas lebih sedekad memberikan makna tersendiri, walaupun pasukan tidak dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran beliau.
Tambahnya, kemenangan menentang skuad ‘Hoben Jang Hoben’ itu menambah manis kepada kehadiran beliau yang menyokong sepenuh hati dalam perlawanan tersebut.
"Tetapi apabila anda mengatakan bahawa Premier hadir memberi sokongan kepada kelab, saya rasa ini satu petanda yang baik.
"Bukan sahaja untuk Kuching City, tetapi untuk seluruh Sarawak," katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut.
Dalam perlawanan tersebut, KCFC berjaya menumbangkan Negeri Sembilan FC 2-0 hasil jaringan Gabriel Nistelrooy dan Ngah Wanja.
Aidil menambah, kemenangan dalam perlawanan tersebut diharapkan dapat menggembirakan Premier Sarawak serta membuka lebih banyak peluang sokongan terhadap kelab pada masa akan datang.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kualiti padang yang didakwa menjadi punca kecederaan beberapa pemain.
Jelasnya, Daniel Amier dijangka terpaksa diketepikan sehingga dua bulan berdasarkan penilaian doktor akibat faktor keadaan padang.
Selain itu, Gabriel mengalami kecederaan hamstring manakala Ronald Ngah mengalami kecederaan buku lali, yang dipercayai berpunca daripada permukaan padang yang keras dan tidak berada pada tahap terbaik.
"Jadi, perkara ini perlu diberi perhatian dan diperbaiki makas saya harapkan keadaan padang akan menjadi lebih baik dari semasa ke semasa," ujar beliau. -EDISI UKAS