Budaya Hidup Sihat, Gotong-Royong Asas Komuniti Sejahtera
BAU: Kepentingan membudayakan amalan hidup sihat serta memupuk semangat gotong-royong ditegaskan sebagai asas utama dalam membina komuniti yang bersatu padu dan sejahtera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menegaskan demikian ketika Program Komuniti Sihat dan Muafakat di Kampung Rumih pada Sabtu.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja mampu melahirkan komuniti yang sihat, malah berperanan sebagai platform berkesan untuk memperkukuh interaksi langsung antara jabatan kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan peranan penting Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (RELA) di peringkat akar umbi serta memuji komitmen Pejabat Daerah Bau melalui Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bau dalam menganjurkan program berasaskan komuniti yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Billy dalam pada itu memaklumkan bahawa penganjuran MAKSAK Bau dijadualkan berlangsung pada Jun 2026 dan berharap sokongan berterusan semua pihak bagi memastikan kesinambungan program berbentuk kemasyarakatan dan kesukarelawanan di kawasan DUN Opar.
Program anjuran MAKSAK Bau itu disertai kira-kira 100 orang peserta dan berjaya memupuk semangat gotong-royong serta mengeratkan hubungan antara jabatan kerajaan dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS