BAMC Vol. 4 Perkukuh Bintulu Sebagai Hab Muay Thai Sarawak
BINTULU: Penganjuran Bintulu Amateur Muaythai Challenge (BAMC) Vol. 4 terus memperkukuh kedudukan Bintulu sebagai antara pusat utama pembangunan sukan Muay Thai di Sarawak apabila kejohanan itu berlangsung meriah di Naim Street Mall, Bintulu Paragon, pada Sabtu.
Kejohanan edisi keempat tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing Steven Kong Kai Seng.
Mewakili Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan BAMC secara berterusan, sekali gus membuktikan komitmen tinggi dalam memartabatkan sukan Muay Thai di peringkat tempatan dan negeri.
Menurut beliau, BAMC bukan sekadar kejohanan sukan, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan pelancongan sukan, yang mampu memberi impak positif kepada komuniti setempat serta merancakkan ekonomi tempatan.
“Penyertaan atlet dan kehadiran peminat dari luar daerah dan negeri menjadikan Bintulu semakin dikenali sebagai destinasi sukan Muay Thai yang berdaya saing.
"Penganjuran konsisten di sini membuktikan Bintulu memiliki fasiliti serta ekosistem sukan yang matang,” katanya.
Beliau menambah, penyertaan atlet antarabangsa dalam BAMC Vol. 4 meningkatkan tahap persaingan serta memberi pendedahan berharga kepada atlet tempatan untuk beraksi mengikut piawaian antarabangsa, selaras dengan aspirasi MOTAC memposisikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan serantau.
Dalam pada itu, beliau turut mengenang jasa tokoh perintis Muay Thai negara, Saiful Merican, selain mengiktiraf kejayaan atlet negara seperti Johan Ghazali 'Jojo', Alif Rakib dan Mohd Rifdean Masdor yang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Sebanyak 13 kelab dan pasukan menyertai kejohanan ini, melibatkan penyertaan dari Sarawak, Sabah dan Johor serta pasukan antarabangsa dari Indonesia, sekali gus mencerminkan semangat kesukanan dan kerjasama serantau.
Dalam kejohanan tersebut, Persatuan Muay Thai Negeri Sabah muncul juara keseluruhan dengan 11 pingat emas, diikuti PS Muay Thai Bintulu dengan sembilan pingat emas, manakala Lions 30 Muay Thai Club di tempat ketiga dengan tujuh pingat emas.
Selain menyemai gaya hidup sihat dan disiplin dalam kalangan belia, kejohanan ini turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga setempat melalui peningkatan kehadiran pengunjung.- EDISI UKAS