Datuk Ding Teruskan Lawatan Ke Rumah Panjang Sungai Kawi & Sungai Sekijang
MERADONG: Program Lawatan Rumah Panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong terus menjadi platform penting dalam usaha mendekati masyarakat serta mengenal pasti keperluan penduduk di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama isterinya, Datin Kueh Nai Fun meneruskan siri lawatan tersebut yang kini memasuki hari ke-31 dengan mengunjungi beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Kawi dan Sungai Sekijang, Bintangor, pada Selasa.
Menurut beliau, program yang dilaksanakan setiap tahun itu membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat sentiasa terjalin, di samping memberi ruang kepada penduduk menyuarakan pandangan, cadangan serta keperluan mereka secara langsung.
Beliau berkata lawatan seperti itu amat penting bagi membolehkan pemimpin turun padang melihat sendiri keadaan semasa serta memahami isu yang dihadapi oleh masyarakat di kawasan luar bandar.
“Pendekatan turun padang seperti ini membolehkan kita mendengar secara terus suara rakyat dan mencari jalan terbaik untuk membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk,” katanya semasa berucap.
Dalam pada itu, Datuk Ding turut menegaskan bahawa pelbagai insentif dan bantuan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira umur, kaum dan latar belakang.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela serta pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat di Sarawak.-EDISI UKAS