Keselamatan Kebakaran Rumah Panjang Terus Diperkukuh
BINTANGOR: Usaha memperkukuh tahap keselamatan kebakaran di rumah-rumah panjang terus diberi perhatian bagi melindungi penduduk serta mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda akibat insiden tidak diingini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, aspek keselamatan kebakaran tidak boleh dipandang ringan memandangkan kebanyakan rumah panjang dibina secara berderet dan menempatkan ramai penghuni dalam satu bangunan.
Katanya, penyediaan alat pemadam api merupakan langkah awal yang penting bagi membantu penduduk bertindak pantas sebelum ketibaan pasukan penyelamat sekiranya berlaku kecemasan.
“Keselamatan penduduk perlu sentiasa menjadi keutamaan. Langkah pencegahan dan persediaan awal amat penting bagi mengurangkan risiko kerugian yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada siri lawatan ke rumah-rumah panjang di kawasan Meradong pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu telah meluluskan pembekalan alat pemadam api kepada beberapa rumah panjang semasa siri lawatan kerjanya di kawasan Meradong.
Selain meneliti aspek keselamatan, beliau turut mendengar sendiri keperluan penduduk berkaitan kemudahan komuniti dan infrastruktur asas yang diperlukan bagi meningkatkan keselesaan hidup masyarakat setempat.
Antara permohonan yang dikemukakan ialah penyediaan kerusi dan meja untuk kegunaan aktiviti komuniti di rumah panjang yang terlibat.
Permohonan tersebut telah diluluskan sebagai usaha menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan penduduk.
Lawatan berterusan ke rumah-rumah panjang itu mencerminkan komitmen beliau dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan keperluan masyarakat luar bandar sentiasa diberi perhatian serta tindakan sewajarnya.
Beliau meneruskan siri lawatan ke rumah panjang di kawasan Sungai Gemuan, Sungai Kelupu, Sungai Apong, Sungai Janting, Sungai Stubah dan Sungai Kabu.-EDISI UKAS