Pelajar Tingkatan Enam Digesa Rebut Peluang Ke Universiti
JULAU: Pelajar tingkatan enam diingatkan supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya membina masa depan yang lebih baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, pendidikan merupakan antara kaedah paling berkesan untuk meningkatkan taraf hidup serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda.
Menurut beliau, kemasukan pelajar ke tingkatan enam perlu dilihat sebagai satu peluang berharga untuk meneruskan perjalanan akademik sebelum melangkah ke institusi pengajian tinggi.
“Peluang yang ada hari ini tidak datang dengan mudah. Gunakanlah sebaik mungkin untuk mencapai cita-cita dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Lawatan dan Menyantuni Pelajar Pusat Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Julau pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa disiplin, komitmen dan kesungguhan merupakan faktor utama yang menentukan kejayaan seseorang pelajar.
Katanya, peluang pendidikan yang disediakan tidak akan memberi manfaat sepenuhnya tanpa usaha yang berterusan serta sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.
Beliau turut menggesa pelajar menetapkan sasaran yang jelas dalam kehidupan, termasuk melanjutkan pengajian ke universiti dan menceburi bidang profesional yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Selain itu, beliau mengingatkan pelajar supaya menghargai pengorbanan guru yang sentiasa berusaha membimbing mereka ke arah kejayaan, di samping memanfaatkan pelbagai kemudahan pendidikan yang disediakan kerajaan.
Jelasnya, kejayaan dalam pendidikan bukan sahaja mampu mengubah masa depan individu, malah memberi impak besar kepada keluarga serta pembangunan masyarakat secara keseluruhan. - EDISI UKAS