Program KLAS Renang Terus Perkasa Pembangunan Sukan di Limbang
LIMBANG: Pembangunan sukan serta penguasaan kemahiran asas renang dalam kalangan belia dan komuniti di Limbang terus diberi keutamaan menerusi penganjuran Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang Fasa 3 Peringkat Bahagian Limbang anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Bahagian Limbang.
Program yang berlangsung dari 17 Januari hingga 1 Februari itu melibatkan penyertaan seramai 45 orang kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun, dengan penekanan terhadap aspek kemahiran asas renang serta keselamatan di dalam air.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, penganjuran kelas renang tersebut wajar diteruskan secara berperingkat kerana manfaatnya bukan sahaja dari sudut keselamatan, malah berpotensi melahirkan bakat baharu dalam sukan renang.
“Saya amat mengalu-alukan penganjuran kelas renang ini dan berharap ia dapat dilaksanakan secara berterusan.
"Saya juga meminta Jabatan Belia dan Sukan Limbang supaya memohon peruntukan daripada ibu pejabat agar program ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan KLAS Renang Fasa 3, Ahad.
Menurut beliau, penguasaan kemahiran renang sejak usia awal penting bagi membentuk keyakinan diri kanak-kanak, selain mengurangkan risiko kemalangan berkaitan air.
“Selain ilmu berenang, program ini melatih anak-anak kita untuk melangkah lebih jauh dan berpotensi mengembangkan bakat dalam bidang sukan renang,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar fasiliti kolam renang di Limbang dapat dipertingkatkan bagi menyokong pembangunan sukan air secara lebih menyeluruh di daerah tersebut.
“Saya berharap Perbadanan Sukan Sarawak dapat mempertimbangkan supaya Limbang dijadikan sebagai salah satu venue pertandingan renang di Sarawak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan program latihan asas sukan.
“Usaha ibu bapa menghantar anak-anak mengikuti kelas renang amat penting kerana sokongan mereka menjadi faktor utama kejayaan program ini,” katanya.
Mengulas aspek keselamatan, beliau berkata kemahiran berenang merupakan satu keperluan asas yang perlu dikuasai sejak usia awal bagi membolehkan kanak-kanak menjaga keselamatan diri serta membantu orang lain dalam situasi kecemasan.
Seramai empat orang jurulatih dilantik bagi mengendalikan kelas renang yang merangkumi modul latihan seperti teknik pernafasan, koordinasi pergerakan badan serta amalan keselamatan di dalam air.
Program tersebut turut mendapat kerjasama strategik daripada Balai Bomba dan Penyelamat Limbang serta Perbadanan Sukan Sarawak.
Turut hadir Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang, Rynnille Elsther Peter; Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan serta wakil Perbadanan Sukan Sarawak Limbang, Rita Bilong. -EDISI UKAS