Pendidikan dan Pembangunan Ekonomi Terus Jadi Keutamaan di Selangau
BALINGIAN: Kerajaan Sarawak kekal komited memperkukuh agenda pendidikan serta pembangunan ekonomi rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Ia ditegaskan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Johnny, Bukit Dinding, pada Jumaat.
Menurut beliau, antara inisiatif utama kerajaan ialah pemberian bantuan pendidikan sebanyak RM1,200 setahun kepada anak Sarawak yang melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.
Di peringkat Parlimen Selangau pula, katanya, pelajar dari kawasan Kakus dan Tamin yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi berkenaan turut menerima bantuan pendidikan sebagai galakan untuk terus mencapai kecemerlangan akademik.
Beliau memaklumkan bahawa sejak tahun 2023 hingga kini, Bantuan Pendidikan Parlimen Selangau telah disalurkan dengan peruntukan berjumlah RM70,600 pada 2023, RM170,700 pada 2024, RM249,400 pada 2025 dan RM28,000 setakat tahun 2026, melibatkan seramai 510 orang pelajar keseluruhannya.
Selain aspek pendidikan, Edwin berkata pembangunan ekonomi rakyat turut menjadi keutamaan menerusi pelbagai inisiatif, termasuk pengagihan anak benih kopi kepada penduduk setempat bagi meningkatkan sumber pendapatan dan memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar.
Katanya, Premier Sarawak telah meluluskan Projek Pembangunan Tanaman Kopi di Daerah Selangau dengan peruntukan berjumlah RM4.8 juta pada Disember tahun lalu.
Dalam aspek kebajikan pula, beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Khidmat Ahli Parlimen Selangau menyediakan bantuan kematian sebanyak RM300 bagi meringankan beban keluarga dalam menguruskan urusan pengebumian.
Pada majlis berkenaan, bantuan pendidikan telah disampaikan kepada 26 orang pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian dengan jumlah keseluruhan RM29,200.
Selain itu, penyerahan cek turut diberikan kepada 40 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melibatkan peruntukan keseluruhan RM707,500.
Majlis Pemimpin Bersama Rakyat tersebut telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai.
Terdahulu, Edwin bersama Dato Sri John Sikie turut menghadiri Program Perasmian Kejohanan Futsal Terbuka Piala Pusingan Presiden Parti PRS yang berlangsung di Gelanggang Futsal Rumah Manna pada jam 10 pagi.
Kejohanan itu dianjurkan oleh Kelab Proaktif Lubuk Bukut sebagai platform menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti sukan.
Majlis yang berlangsung di kawasan Balingian itu mencerminkan usaha berterusan kepimpinan kerajaan dalam mendekati rakyat, menyalurkan bantuan serta memperkukuh agenda pendidikan, ekonomi, dan kebajikan di peringkat akar umbi.-EDISI UKAS