SK St. Peter Rai 100 Tahun, Simbol Ketahanan Pendidikan dan Pembentukan Generasi Cemerlang
SARATOK: Sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Kebangsaan (SK) St. Peter disifatkan sebagai satu pencapaian bersejarah yang bukan sahaja mencerminkan ketahanan institusi pendidikan tersebut, malah membuktikan peranannya yang berterusan dalam melahirkan generasi cemerlang untuk komuniti Saratok dan negeri Sarawak secara keseluruhannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menegaskan bahawa pendidikan asas kekal sebagai tunjang utama dalam membentuk individu yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Beliau turut menyentuh mengenai inisiatif Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) sebagai bukti sokongan kerajaan negeri terhadap akses pendidikan, selain memuji rekod kecemerlangan SK St. Peter dalam melahirkan pelajar berkualiti.
“Pendidikan asas merupakan pelaburan paling penting untuk masa depan anak-anak kita, dan kejayaan SK St. Peter selama 100 tahun ini membuktikan bahawa sekolah ini telah memainkan peranan yang amat bermakna dalam pembangunan modal insan di kawasan Saratok,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam sempena Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan St. Peter di Dewan SJKC Min Syn, Saratok pada Sabtu.
Pada majlis sama, beliau menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.
Sementara itu, ADUN Krian, Friday Belik menyifatkan sambutan ulang tahun ke-100 tersebut sebagai pencapaian besar yang wajar dibanggakan oleh seluruh warga sekolah dan komuniti setempat.
Beliau berharap SK St. Peter akan terus beroperasi dan menyumbang kepada pembangunan negara untuk ratusan tahun akan datang, selain menekankan kepentingan memperkasakan agenda pendidikan serta memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Dalam majlis berkenaan, beliau mengumumkan sumbangan RM15,000 kepada PIBG menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan yang diterima sebanyak RM25,000.
“SK St. Peter bukan sekadar sekolah, tetapi institusi yang telah membentuk ribuan pelajar dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Saya berharap ia akan terus menjadi pusat kecemerlangan pendidikan untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Sebanyak RM1.2 juta peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah disalurkan bagi kerja-kerja berkaitan SK St. Peter Saratok, mencerminkan kepercayaan berterusan kerajaan terhadap peranan penting sekolah ini dalam membangunkan modal insan berkualiti demi masa depan negeri dan negara. -EDISI UKAS