Projek RTP Perkukuh Keperluan Asas, Tingkat Kesejahteraan Rakyat Di Tatau
TATAU: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa pembangunan luar bandar menerusi pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) apabila beberapa projek siap bagi DUN N60 Kakus telah diserahkan dan ditinjau.
Lawatan tapak pada Ahad itu diketuai oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, melibatkan beberapa projek utama yang telah siap dilaksanakan di sekitar Daerah Tatau, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan asas dan kesejahteraan rakyat luar bandar.
Antara projek yang dilawati ialah Projek Bina Baharu Jambatan Rumah Panjang Enjan Gos, Tatau, yang dijangka memberi impak signifikan kepada penduduk setempat khususnya dalam memperbaiki aspek perhubungan, keselamatan serta kelancaran pergerakan harian komuniti rumah panjang.
Lawatan seterusnya melibatkan Projek Menaik Taraf Jalan Rumah Jelian Guru, Muput, Tatau, yang telah siap sepenuhnya dan dilihat mampu meningkatkan tahap keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya, di samping memudahkan akses penduduk ke kawasan sekitarnya.
Rombongan turut meninjau Projek Pembinaan Tempat Letak Kereta di Pejabat Daerah Tatau yang telah siap dilaksanakan bagi menambah baik kemudahan awam serta keselesaan pengunjung dan urusan pentadbiran di pejabat berkenaan.
Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong serta wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu, Joseph Tyran.-EDISI UKAS