Pemantauan Berterusan Kunci Cegah Penularan Penyakit
SIBURAN: Usaha pemantauan penyakit berjangkit di peringkat komuniti perlu dilaksanakan secara berterusan dan berpandukan data bagi memastikan langkah pencegahan dapat diambil lebih awal dan berkesan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendekatan pengesanan awal amat penting kerana banyak penyakit berjangkit bersifat laten, iaitu wujud tanpa menunjukkan gejala yang jelas.
Menurut beliau, tanpa pemantauan yang sistematik, jangkitan seperti ini berpotensi menjadi aktif dan menular dalam komuniti tanpa disedari.
“Pemantauan yang konsisten membolehkan kita membuat perbandingan data dari semasa ke semasa, mengenal pasti risiko baharu serta menilai keberkesanan intervensi kesihatan awam yang telah dilaksanakan.
“Melalui data yang tepat, tindakan susulan dapat dirancang dengan lebih strategik demi melindungi kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika menghadiri program Disease Surveillance Program di sini pada Ahad.
Beliau turut menegaskan bahawa kesedaran masyarakat mengenai kepentingan saringan kesihatan perlu terus dipertingkatkan, khususnya di kawasan luar bandar.
Kerjasama antara agensi kerajaan seperti Sarawak Infectious Disease Centre (SIDC), pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat jelas memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem kesihatan awam negeri.
Pendekatan proaktif ini dilihat sebagai langkah jangka panjang untuk memastikan tahap kesihatan rakyat Sarawak sentiasa terpelihara serta mampu mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit pada masa hadapan.-EDISI UKAS