KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Pemenang Tempat Pertama Anugerah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Terbaik 2025, satu pengiktirafan berprestij peringkat kebangsaan yang dianugerahkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di bawah Kementerian Digital Malaysia, pada Isnin.
Pengiktirafan tersebut mengesahkan keupayaan UNIMAS dalam memacu keusahawanan digital dan inovasi pendidikan tinggi selaras dengan agenda transformasi ekonomi digital negara.
Kejayaan ini turut mencerminkan kesinambungan prestasi cemerlang universiti itu apabila mencatat 100 peratus pemenuhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Keusahawanan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun 2024.
Kejayaan berkenaan dipacu oleh kematangan ekosistem keusahawanan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UNIMAS yang dilaksanakan melalui tadbir urus tersusun, program berimpak tinggi serta hala tuju strategik bersepadu.
Tumpuan utama diberikan kepada penguasaan pemasaran digital, penggunaan data dalam pembuatan keputusan serta pengaplikasian kecerdasan buatan (AI) bagi membentuk keupayaan perniagaan digital sebenar dalam kalangan pelajar.
Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman serta kerjasama strategik bersama rakan industri turut membolehkan UNIMAS melahirkan graduan yang berdaya saing, memiliki minda keusahawanan, kemahiran digital relevan serta keupayaan menskalakan perniagaan secara mampan.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan seluruh warga UNIMAS, khususnya para fasilitator dan warga akademik, dalam memperkasa potensi pelajar melalui ekosistem keusahawanan yang inklusif dan berfokuskan impak tinggi.
UNIMAS terus komited memperkasa generasi usahawan masa hadapan menerusi ekosistem bersepadu berteraskan transformasi digital, inovasi AI dan pertumbuhan perniagaan mampan, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran graduan serta impak universiti di peringkat nasional.-EDISI UKAS