Dewan Ensengai Melayu Gedong Siap, Perkukuh Prasarana Komuniti Kampung
GEDONG: Penduduk Kampung Ensengai Melayu kini menikmati kemudahan baharu bagi menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan susulan siapnya pembinaan Dewan Ensengai Melayu yang dijangka menjadi pusat utama kegiatan komuniti setempat.
Majlis ringkas penyerahan rasmi dewan tersebut telah disaksikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee sebagai tanda bermulanya penggunaan kemudahan berkenaan oleh penduduk kampung.
Bagi melengkapkan lagi kemudahan dewan tersebut, Rodiyah turut menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 melalui Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong bagi membiayai pembinaan kawasan parkir serta jalan masuk ke dewan.
Menurut beliau, peruntukan tambahan itu bertujuan meningkatkan keselesaan serta kemudahan akses kepada pengguna, sekali gus memastikan dewan berkenaan dapat dimanfaatkan secara optimum.
“Pembinaan dewan ini merupakan satu keperluan penting bagi penduduk Kampung Ensengai Melayu. Dengan adanya kemudahan yang lebih baik, pelbagai program kemasyarakatan, sosial dan keagamaan dapat dianjurkan dengan lebih teratur dan selesa,” katanya di sini, pada Isnin.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasa kemudahan awam di kawasan luar bandar melalui penyediaan prasarana yang lebih berkualiti demi kesejahteraan rakyat.
Majlis penyerahan projek melibatkan penyerahan rasmi daripada pihak kontraktor, Calon Hidayah Enterprise yang diwakili oleh Mohamad Pelihan Ojer kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ensengai Melayu yang diwakili Ketua Kampung, Abas Julaihi.
Projek pembinaan dewan ini merupakan Fasa 1 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2021 dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah RM499,716.20.
Skop projek melibatkan pembinaan sebuah dewan terbuka bersaiz 30 meter x 20 meter, merangkumi kerja-kerja penambakan tanah, pemasangan cerucuk (piling), pembinaan struktur keluli, pemasangan bumbung dan cladding, serta pembinaan pentas bagi kegunaan pelbagai aktiviti komuniti.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Batang Sadong, Idris Ibrahim, Penolong Jurutera JKR Samarahan, Clavell Cliff Peter serta barisan ahli Jawatankuasa JKKK Kampung Ensengai Melayu.-EDISI UKAS