Naik Taraf Padang Bola Sepak Kampung Semalatong Lama Perkasa Aktiviti Komuniti
GEDONG: Projek naik taraf padang bola sepak Kampung Semalatong Lama kini siap sepenuhnya, sekali gus memberi nafas baharu kepada kemudahan sukan dan aktiviti komuniti di kawasan tersebut.
Majlis penyerahan siap kerja projek berkenaan telah disaksikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong pada Isnin, melibatkan penyerahan rasmi daripada wakil kontraktor Tapang Merundai Enterprise, Jamaluddin Ismail kepada Ketua Kampung Semalatong Lama, Welson Darie.
Projek di bawah peruntukan Rural Transformation Programme (RTP) 2025 itu melibatkan kos keseluruhan RM149,999.60 dengan tempoh pelaksanaan selama 24 minggu.
Walaupun dijadualkan siap pada 24 Februari 2026, projek berkenaan berjaya disempurnakan lebih awal pada 5 Disember 2025, mencerminkan prestasi pelaksanaan yang cekap dan memuaskan.
Menurut Ahli Parlimen Batang Sadong, projek tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa pembangunan luar bandar melalui penyediaan kemudahan awam yang berkualiti.
“Padang bola sepak yang dinaik taraf ini bukan sahaja memberi ruang kepada belia untuk aktif bersukan, malah menjadi pusat aktiviti kemasyarakatan yang mampu mengeratkan hubungan penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Welson Darie merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kejayaan pelaksanaan projek berkenaan.
Skop kerja projek merangkumi pembinaan pagar PVC sepanjang 42 meter dengan ketinggian enam meter serta pembinaan longkang perimeter sepanjang 140 meter bagi meningkatkan aspek keselamatan dan sistem saliran di kawasan padang.
Turut hadir Pegawai Khas Ahli Parlimen Batang Sadong, Idris Ibrahim, Penolong Jurutera JKR Bahagian Samarahan, Clavel Cliff Peter serta wakil kontraktor Tapang Merundai Enterprise.-EDISI UKAS