KMKK Diingat Laksana Tugas Secara Telus dan Adil Menjelang PRN
SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Daerah Sibu diingatkan agar melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan penuh ketelusan, berintegriti dan adil dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Residen Bahagian Sibu Mohammad Porkan Abang Budiman berkata, peranan KMKK kini semakin penting, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada tahun ini.
“Tugas kita sebagai penjawat awam ialah memastikan setiap urusan, termasuk yang berkaitan pilihan raya, dikendalikan secara telus, berintegriti dan adil kerana kita merupakan anggota perkhidmatan awam yang tidak memihak kepada sesiapa.
“Perkara ini perlu dinyatakan secara jelas supaya semua pihak memberikan layanan yang sama rata selagi ia melibatkan urusan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Notis dan Sijil Pelantikan KMKK Daerah Sibu bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka yang berlangsung di Pejabat Daerah Sibu, Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa KMKK agar terus bersatu dan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan negeri dalam memperjuangkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, sokongan berterusan daripada peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan usaha kerajaan negeri menuntut semula hak Sarawak dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Apa yang kita miliki ketika ini masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Walaupun Sarawak telah mempunyai akta serta undang-undang negeri sendiri, namun masih wujud pandangan dan campur tangan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kita bukan berjuang untuk bermusuhan, sebaliknya memberi sokongan penuh kepada Yang Amat Berhormat pemimpin negeri melalui wakil rakyat sebagai saluran utama,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Sarawak ditadbir demi kepentingan rakyat Sarawak, justeru sokongan padu terhadap kerajaan negeri amat penting bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan berterusan.
Seramai 30 KMKK yang terdiri daripada lima Ketua Masyarakat, 17 Tuai Rumah, empat Kapitan, empat Ketua Kampung serta dua lantikan baharu menerima sijil pelantikan masing-masing pada majlis tersebut.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pegawai Daerah Sibu Tsong Chow Choon serta Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan dan Inovasi, Mohamad Afiq Abg Zainudin. - EDISI UKAS