Penyambungan Grid Elektrik Ke Sekolah Luar Bandar, Perkukuh Akses Pendidikan Berkualiti
MUKAH: Projek penyambungan grid elektrik ke sekolah-sekolah luar bandar Sarawak memperkukuh akses pendidikan berkualiti serta menyokong pelaksanaan pembelajaran digital di kawasan pedalaman.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan merupakan pelaburan strategik Kerajaan Sarawak bagi memastikan pelajar luar bandar menikmati kemudahan pendidikan setara dengan kawasan bandar.
“Projek ini bukan sekadar pencapaian infrastruktur, malah merupakan pelaburan penting terhadap masa depan anak-anak Sarawak,” katanya semasa Majlis Penyerahan Projek Penyambungan Grid Elektrik ke Sekolah-Sekolah Luar Bandar Sarawak di Sekolah Kebangsaan Sungai Duan pada Selasa.
Projek yang bermula pada 2018 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) itu melibatkan kos keseluruhan RM38.48 juta daripada siling RM50 juta dan memberi manfaat kepada 122 sekolah luar bandar di seluruh Sarawak.
Ujarnya, projek tersebut dilaksanakan menerusi lima pakej bermula 2020 sebelum siap sepenuhnya pada 2025.
Beliau turut menegaskan bekalan elektrik stabil merupakan asas penting dalam menyokong pembelajaran berteraskan teknologi, pengukuhan pendidikan STEM serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli memaklumkan sebanyak 121 sekolah telah berjaya disambungkan kepada bekalan elektrik grid awam, sekali gus menyediakan bekalan elektrik 24 jam yang lebih stabil serta menjimatkan kos operasi berbanding penggunaan janakuasa diesel.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Sarawak Energy Berhad selaku agensi pelaksana utama khususnya pasukan projek yang diketuai Pengurus Besar Elektrifikasi Luar Bandar, Nazry Abdul Latip atas komitmen serta kecekapan dalam menjayakan projek berkenaan.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee, Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Anielia Siam, Pengarah Bekalan Elektrik Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Ir. Ts. Muhammad Randie Abdullah, Naib Presiden Kanan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar Sarawak Energy, Marconi Madai, Guru Besar SK Sungai Duan, Jostin Usan serta ketua-ketua jabatan dan guru besar sekolah sekitar Mukah.-EDISI UKAS