Teratak Kasih Tok Nan Bintulu Perkukuh Sokongan Komuniti HIV/AIDS
BINTULU: Usaha memperkukuh jaringan sokongan terhadap komuniti terjejas HIV dan AIDS di Sarawak terus diperkasakan menerusi pembukaan rasmi Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) Bintulu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, pendekatan berterusan berteraskan empati, kasih sayang serta kerjasama pelbagai pihak amat penting dalam menangani isu HIV dan AIDS secara menyeluruh dan berkesan.
Menurut beliau, golongan terjejas sering berdepan pelbagai cabaran termasuk stigma, diskriminasi serta pengasingan sosial, selain perlu mengekalkan tahap kesihatan yang baik.
“Realiti ini memerlukan belas ihsan, kesabaran serta komitmen berterusan daripada semua pihak. Inisiatif berasaskan komuniti seperti Teratak Kasih Tok Nan memainkan peranan penting dalam membantu golongan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Teratak Kasih Tok Nan Bintulu di pada Selasa.
Datuk Amar Dr Sim menjelaskan, perkembangan TKTN bermula di Kuching sebelum diperluaskan ke Miri dan kini ke Bintulu membuktikan keberkesanan pendekatan komuniti dalam memperluas akses sokongan kepada golongan terjejas.
Tambah beliau, perkhidmatan yang disediakan pusat berkenaan turut melengkapi rawatan sedia ada di hospital dan klinik kerajaan sekali gus mewujudkan ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
“Gabungan perkhidmatan ini dapat memperkukuh keberkesanan rawatan, meningkatkan kesinambungan sokongan serta menyumbang kepada tindak balas lebih mampan dalam usaha menangani HIV dan AIDS,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.25 juta bagi tempoh tiga tahun bagi menyokong kelangsungan operasi TKTN.
Menurut beliau, sokongan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil serta sektor swasta dalam mempertingkatkan aspek kesihatan awam.
Beliau berharap penubuhan TKTN Bintulu dapat memperluas jaringan sokongan kepada golongan terjejas, meningkatkan kualiti hidup mereka serta memperkukuh usaha pencegahan HIV di negeri ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib, Penaung Malaysian AIDS Foundation Borneo, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu, barisan pengurusan kesihatan, rakan strategik sektor korporat serta wakil komuniti setempat.–EDISI UKAS