KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Isu Buli diwujudkan bagi menangani isu buli secara lebih tersusun dan menyeluruh di negeri ini dengan tumpuan awal diberikan kepada kes buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut menetapkan ruang lingkup yang merangkumi kes buli di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja serta institusi pendidikan bukan kerajaan atau swasta.
Namun jelasnya, keputusan memfokuskan kepada sekolah itu dibuat berdasarkan pembentangan data semasa yang menunjukkan kes buli dalam kalangan pelajar memerlukan perhatian lebih serius pada peringkat awal.
"Daripada pembentangan yang telah dibuat, kami mendapati bahawa isu yang memerlukan tumpuan paling tinggi pada masa ini ialah kes buli dalam kalangan pelajar sekolah.
"Ini bukan bermaksud bahawa kes buli tidak berlaku di tempat kerja atau di lokasi lain, tetapi buat masa ini, kami tidak mempunyai data yang lengkap.
"Sehingga data tersebut diperoleh, fokus utama adalah menangani isu buli dalam kalangan pelajar sekolah," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Isu Buli Di Sarawak (JPIBS) Bil. 1/2026 di Bangunan Baitulmakmur 2 pada Selasa.
Dato Sri Fatimah menambah, jawatankuasa berkenaan juga akan mewujudkan satu agensi peneraju bagi memberi fokus khusus kepada isu buli di sekolah swasta dan seterusnya di tempat kerja memandangkan Prosedur Operasi Standard pengurusan buli berbeza dengan kerajaan.
Untuk rekod, statistik daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan ketara bagi tahun lepas apabila sebanyak 49 kes buli dilaporkan melibatkan 66 orang untuk membantu siasatan berbanding 15 kes buli pada 2024 melibatkan 34 orang.
Tahun ini setakat 31 Januari, sebanyak tiga kes telah dilaporkan melibatkan dua orang untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pelbagai program kesedaran akan dilaksanakan bagi memberi kefahaman kepada pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, pekerja serta pelajar sekolah swasta mengenai maksud buli, kesannya serta saluran bantuan yang tersedia.
"Program-program yang akan dilaksanakan ini akan memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan kesedaran agar semua pihak memahami apa yang dimaksudkan dengan buli, apakah sistem sokongan yang tersedia serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berdepan dengan situasi buli.
"Perkara yang paling penting ialah sekiranya kita tidak bersuara atau tidak membuat laporan, perbuatan buli tersebut akan terus berulang.
"Oleh itu, perbuatan buli perlu dihentikan dengan mendapatkan bantuan yang sewajarnya," tegas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ahmad Daniel Faiz