Kerjasama Rentas Sektor Perkukuh Jaringan Sokongan Tangani HIV di Sarawak
BINTULU: Kerjasama strategik antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat terus menjadi tunjang utama dalam memperkukuh respons Sarawak dalam menangani HIV dan AIDS.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai pihak amat penting bagi memastikan golongan terjejas menerima rawatan serta sokongan berterusan.
Menurut beliau, Sarawak merekodkan 205 kes HIV baharu pada tahun 2025 berbanding 224 kes pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 8.4 peratus.
“Jika pesakit tidak diurus dan dipantau dengan baik, penyakit ini boleh merebak atau keadaan kesihatan mereka menjadi lebih teruk.
“Ini menunjukkan bahawa semua pihak perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pembukaan Teratak Kasih Tok Nan di sini pada Selasa.
Datuk Amar Profesor Dr Sim berkata pusat sokongan komuniti seperti Teratak Kasih Tok Nan berperanan sebagai penghubung antara pesakit dengan perkhidmatan kesihatan kerajaan, khususnya dalam memastikan rawatan diteruskan tanpa gangguan.
Menurutnya, kekangan seperti masalah pengangkutan dan sokongan keluarga sering menjadi punca pesakit gagal mendapatkan rawatan secara konsisten.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Bahagian Bintulu masih mencatatkan kadar insiden HIV tertinggi di Sarawak iaitu 13 kes bagi setiap 100,000 penduduk, walaupun menunjukkan trend penurunan.
Katanya, situasi itu memerlukan pendekatan lebih menyeluruh termasuk penglibatan pemimpin komuniti dan pertubuhan sukarela di peringkat akar umbi.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib berkata sokongan emosi dan persekitaran positif amat penting bagi membantu pesakit menjalani rawatan tanpa tekanan sosial.
Menurut beliau, stigma masih menjadi antara faktor utama yang menghalang pesakit daripada mendapatkan rawatan awal.
“Apabila masyarakat lebih memahami isu HIV, pesakit akan berasa lebih yakin untuk tampil mendapatkan rawatan dan sokongan,” katanya.
Beliau menegaskan usaha membendung HIV memerlukan komitmen jangka panjang serta penyertaan berterusan daripada semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, pendekatan berasaskan komuniti akan terus menjadi teras dalam membina sistem sokongan yang lebih kukuh dan berkesan di Sarawak.-EDISI UKAS