Kontinjen Zon Utara Sasar Pertahan Kejuaraan SUKSAR 2026
MIRI: Kontinjen Zon Utara menyasarkan untuk mengulangi kejayaan sebagai juara keseluruhan pada Kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) Siri Ke-4 yang akan berlangsung di Sri Aman dan Betong dari 5 hingga 8 Februari ini.
MIRI: Kontinjen Zon Utara meletakkan sasaran tinggi untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada Kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) Siri Ke-4 yang dijadual berlangsung di Sri Aman dan Betong dari 5 hingga 8 Februari ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin, Lee Kim Shin berkata, seramai 305 orang kontinjen terdiri daripada pegawai, urusetia, jurulatih dan atlet dari Bahagian Miri, Bintulu serta Limbang akan menggalas cabaran mewakili Zon Utara pada kejohanan berkenaan, dengan Zon Barat bertindak sebagai tuan rumah
“Bendera ini melambangkan tanggungjawab kita bersama. Setiap atlet bukan sahaja membawa nama diri, malah mewakili pasukan, zon dan negeri Sarawak,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Zon Utara di Stadium Bandaraya Miri, di sini, pada Isnin.
Beliau menegaskan majlis penyerahan bendera bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa amanah besar sebagai lambang kesatuan, maruah dan semangat perjuangan kontinjen.
Dato Sri Lee turut mengimbas kejayaan Zon Utara yang pernah muncul juara keseluruhan pada SUKSAR Siri Pertama di Kuching dan yakin pencapaian tersebut mampu diulangi melalui semangat berpasukan, disiplin serta komitmen tinggi semua atlet.
Pada edisi kali ini, Kontinjen Zon Utara akan menyertai 11 jenis sukan iaitu angkat berat, berbasikal, bola keranjang, bola jaring, karate, ping pong, petanque, sepak takraw, sofbol, taekwondo dan tinju.
Tambah beliau, sukan bukan sekadar medan mengejar kemenangan, malah berperanan membentuk disiplin, ketahanan mental, semangat kesukanan dan kepimpinan dalam kalangan atlet.
Sebelum penyerahan bendera, beliau turut memimpin laungan semangat “Spirit of the North” sebanyak tiga kali yang disambut penuh bersemangat oleh para atlet dan hadirin.
Majlis diteruskan dengan penyerahan rasmi Bendera Kontinjen Zon Utara kepada Chef De Mission (CDM) Sukan Sarawak 2026, Datu Nyurak Keti sebagai simbol amanah dan tanggungjawab kontinjen.
Turut hadir Residen Bahagian Miri merangkap Assistant Chef De Mission (ACDM) Galong Luang, wakil Residen Bahagian Limbang selaku ACDM, Awangku Mohd Sharizan Mainizam Awangku Mahidin, Ketua Urusetia Zon Utara Sukan Sarawak 2026, Abdul Ajis Kon Mohamad Ghazali Ismail serta Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah.-EDISI UKAS