TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Majlis Islam Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Islam Sarawak (MIS) diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi di kediaman rasmi beliau di sini pada Selasa.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak merangkap Setiausaha MIS, Sahibus Siyadah Ustaz Mual Suaud, Pengarah Jabatan Mufti Sarawak Sahibus Siyadah Ustaz Ahmad Sukarno Saini, serta barisan kepimpinan kanan dan pegawai-pegawai Majlis Islam Sarawak dan jabatan berkaitan.
Kunjungan hormat tersebut diadakan sebagai platform rasmi bagi memperkukuh hubungan kerjasama antara Majlis Islam Sarawak dengan institusi Yang di-Pertua Negeri di samping memberi ruang untuk bertukar pandangan secara langsung mengenai hal ehwal pentadbiran dan pembangunan Islam di Sarawak.
Melalui sesi ini, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi telah diberi penerangan menyeluruh berhubung hala tuju strategik, peranan dan fungsi Majlis Islam Sarawak merangkumi Jabatan dan Agensi Islam Sarawak termasuklah Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Mufti Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak dan Tabung Baitulmal Sarawak, serta inisiatif-inisiatif semasa yang dirangka bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam dilaksanakan secara tersusun, inklusif dan berlandaskan perundangan sedia ada.
Sesi kunjungan hormat ini turut memberi ruang terbaik buat pihak MIS bagi mendapatkan nasihat dan panduan daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebagai medium penyelarasan dasar dan hala tuju, khususnya dalam memastikan pelaksanaan program, pewartaan fatwa serta pengurusan institusi Islam di negeri ini selari dengan kepentingan umat Islam dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.-EDISI UKAS