Kerjasama Persekutuan & Negeri Kukuhkan Sistem Penyampaian Kesihatan
MUKAH: Pembangunan sektor kesihatan tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan hospital atau klinik semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh infrastruktur asas yang lengkap dan menyeluruh.
Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato' Hanifah Hajar Taib berkata, kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan secara berkesan, khususnya di Sarawak.
Menurut beliau, kemudahan asas seperti rangkaian jalan raya, bekalan air terawat, bekalan elektrik serta sistem komunikasi yang baik merupakan keperluan utama, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Tanpa sokongan infrastruktur yang kukuh, sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan sukar dilaksanakan secara optimum dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan Lawatan Rasmi ke Hospital Mukah, di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Hanifah turut menyatakan bahawa kemajuan teknologi masa kini membolehkan perkhidmatan khidmat nasihat pakar dilaksanakan secara jarak jauh, sekali gus membantu meningkatkan akses rawatan dan menyelamatkan nyawa pesakit di kawasan yang berdepan kekurangan pakar perubatan.
Tambah beliau, perkongsian pengalaman dan kepakaran antara pihak pengurusan serta petugas kesihatan amat penting bagi memperkukuh keupayaan sistem kesihatan negeri dalam jangka panjang.
Beliau turut berkongsi hasil perbincangan menerusi mesyuarat melibatkan pengarah-pengarah kesihatan dari seluruh Sarawak yang berperanan sebagai platform untuk membincangkan status semasa hospital, klinik serta pejabat kesihatan di negeri ini.
Sempena lawatan tersebut, Hanifah turut meluangkan masa menyantuni pesakit di Hospital Mukah serta menyampaikan 30 sumbangan berupa bakul makanan bernilai RM100 dan wang tunai RM200 kepada penerima, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pesakit.
Lawatan berkenaan turut disertai oleh Pengarah Hospital Mukah, Dr Ardif Damiri, dan Kapitan Kang Boon Eong.- EDISI UKAS