Doi Tung Jadi Inspirasi Global Pemerkasaan Wanita & Komuniti Mampan
DOI TUNG: Satu sesi lawatan rasmi yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus telah diadakan ke Projek Pembangunan Doi Tung, sebuah inisiatif pembangunan komuniti di bawah naungan Yayasan Mae Fah Luang bagi menimba pengalaman serta amalan terbaik dalam pembangunan bersepadu berasaskan komuniti.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi telah diberi taklimat mengenai sejarah penubuhan serta perkembangan projek oleh Pengarah Projek Pembangunan Kelestarian Doi Tung, Thanit Kongkaew yang menjelaskan pendekatan transformasi sosioekonomi komuniti melalui perusahaan sosial, pembangunan kemahiran dan penglibatan aktif masyarakat setempat.
Turut serta dalam sesi lawatan berkenaan ialah Pegawai Tadbir Diplomatik, Azri Hazwani Abdul Aziz, serta Pembantu Maklumat, Amanah, di Kedutaan Malaysia di Bangkok, Thailand, yang bersama-sama berkongsi pandangan berkaitan potensi kerjasama dan pemindahan pengetahuan antara kedua-dua pihak.
Lawatan ini bertujuan memperoleh pemahaman lebih mendalam mengenai model pembangunan bersepadu yang dilaksanakan oleh Doi Tung, khususnya dalam usaha mentransformasikan sumber pendapatan komuniti daripada aktiviti ekonomi tidak mampan kepada perusahaan yang lebih stabil, berdaya tahan dan berimpak jangka panjang.
Selain itu, sesi ini turut memberi pendedahan mengenai pemerkasaan wanita dan keluarga dari sudut ekonomi menerusi amalan pertanian mampan, penghasilan kraftangan, serta pelaksanaan industri nilai tambah yang mampu menjana pendapatan konsisten kepada komuniti setempat.
Lawatan ini juga membuka ruang perbincangan berkaitan aspek tadbir urus, model pembiayaan serta mekanisme kelestarian jangka panjang yang menjadi asas kepada kesejahteraan komuniti secara berterusan, sekali gus berpotensi dijadikan rujukan dalam merangka dasar dan program pembangunan komuniti di Malaysia.-EDISI UKAS