BANGKOK: Satu sesi lawatan telah diadakan ke Pusat Sains Halal Thailand, Universiti Chulalongkorn, bagi menimba pengetahuan serta memahami peranan sains halal dalam memastikan kualiti, keselamatan dan pematuhan piawaian halal sepanjang rantaian bekalan produk.
Sepanjang sesi lawatan tersebut, Pengarah Pusat Sains Halal Thailand, Dr. Pornpimol Mahamad telah berkongsi maklumat berkaitan pembangunan serta penghasilan produk halal oleh komuniti di Thailand, termasuk pendekatan berasaskan sains dan teknologi yang digunapakai bagi menjamin integriti halal.
Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah barisan penyelidik pusat tersebut iaitu Dr. Najwa Yanya Santiworakun, Dr. Acharee Suksuwan, Dr. Nureesun Mahamud, serta Jasmine Manee, yang turut menerangkan peranan penyelidikan dan perkhidmatan makmal dalam menyokong ekosistem halal negara berkenaan.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk memperoleh pemahaman menyeluruh mengenai peranan sains halal dalam memastikan pematuhan standard halal yang ketat, khususnya dari aspek keselamatan makanan, ketelusan rantaian bekalan serta kebolehkesanan produk.
Selain itu, lawatan ini turut memberi pendedahan tentang bagaimana penyelidikan, perkhidmatan makmal serta khidmat nasihat teknikal yang disediakan oleh Pusat Sains Halal Thailand membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memenuhi keperluan pensijilan halal, sekali gus meningkatkan daya saing produk di pasaran antarabangsa.
Sesi lawatan ini juga membuka ruang untuk meneroka amalan terbaik dalam mengintegrasikan jaminan halal dengan inovasi serta memenuhi kehendak pasaran global yang semakin menitikberatkan aspek kualiti, keselamatan dan kepercayaan pengguna.-EDISI UKAS